Pengenalan Asas Teknologi Blokrantai (Blockchain)

  • Home
  • Pengenalan Asas Teknologi Blokrantai (Blockchain)
Shape Image One

Apa Itu Sebenarnya Blokrantai?

Dalam dunia kripto, teknologi asas yang menjadi tulang belakang kepada revolusi ini adalah blokrantai. Sejujurnya lah kan, adakah anda faham secara holistik akan teknologi blokrantai ini? Jika tidak, maka artikel ini khas untuk anda!

Info Ringkas:

1) Blokrantai adalah sejumlah transaksi yang dikumpulkan di dalam sebuah blok dan dirantai dari blok pertama sehingga blok terkini.

2) Ciri immutable menjadikan sejarah transaksi dalam blokrantai tidak boleh diselewengkan oleh mana-mana pihak.

3) Proses hashing bagaikan gam yang mencantumkan antara blok-blok tersebut.

4) Teknik cryptography menjadikan maklumat rahsia pengguna terselamat daripada entiti luar.

5) Miner/Validator adalah peserta yang mengawal rangkaian blokrantai dengan mengesahkan transaksi

6) Consensus Mechanism adalah undang-undang yang mengawal tingkah laku semua peserta dalam rangkaian blokrantai

Secara umumnya, blokrantai merupakan salah satu daripada Teknologi Lejar Tersebar (DLT) dengan ciri yang tersendiri seperti Mekanisma Persepakatan, Identiti Digital dan Blok Data. Blokrantai juga dikenali sebagai pengkalan data memandangkan ia merekod segala transaksi yang berlaku dalam sesuatu rangkaian. Namun begitu, kita perlu membezakan pengkalan data seperti blokrantai dengan pengkalan data tradisional terlebih dahulu kerana kaedah penyimpanan maklumat yang dilakukan adalah berbeza.

Pangkalan Data Tradisional vs Blokrantai

Pengkalan data tradisional adalah sebuah lejar maklumat yang terurus dan dikawalselia oleh sebuah pihak berpusat yang mempunyai kuasa untuk mengisi, menyimpan, mengubah dan memadam data tersebut. Segala yang berlaku terhadap lejar tersebut hanyalah diketahui oleh pihak mereka dan ini bermakna wujud risiko penyelewengan data jika organisasi itu tidak amanah. Titik kelemahan utama di sini adalah BERPUSAT.

Blokrantai juga merupakan sistem lejar yang menyimpan data tetapi dengan cara yang TIDAK BERPUSAT dan dikawalselia oleh pelbagai pihak yang wujud dalam suatu rangkaian atau ekosistem. Dengan memanfaatkan pelbagai pihak yang terlibat, kebarangkalian untuk melakukan penyelewengan data adalah kurang kerana setiap pihak mempunyai salinan data tersebut dan mereka boleh mengesan jika berlaku sebarang penyelewengan.

Berpusat

Tidak Berpusat

Blokrantai Secara Keseluruhan

Sekarang kita akan mendalami teknologi blokrantai, jadi sila fokus 21,000,000 sats supaya anda faham lebih lanjut mengenainya. Kalau nak fokus pun, jangan berkerut sangat muka tu, penerangan ni secara santai sahaja ^_^

Nama pun Blokrantai, bayangkan bahawa segala data/maklumat tentang transaksi yang berlaku adalah dalam bentuk blok yang dirantai dari awal sehingga blok yang terkini. Secara spesifiknya pula, transaksi yang dilakukan pada sesuatu masa itu dikumpulkan semuanya dalam satu blok dan disahkan oleh sekumpulan Miner/Validator iaitu pihak yang menjaga rangkaian tersebut.
Analogi: Syafiq, Amran, Izzah dan beberpa orang awam yang lain telah melakukan transaksi matawang Bitcoin pada pukul 10.30 pagi. Jadi, semua transaksi yang dilakukan oleh mereka ini dikumpulkan ke dalam satu blok untuk disahkan oleh para miner/validator berdasarkan waktu transaksi dilakukan iaitu 10.30 pagi. Bagi pihak miner/validator, anggap mereka sebagai pihak bank yang mengesahkan transaksi dalam situasi sistem kewangan tradisional. Walaupun hakikatnya sesiapa sahaja boleh menjadi miner/validator.

Kemudian, sebaik sahaja transaksi telah dimasukkan dan disahkan di dalam blokrantai, ianya tidak boleh dipadam dan kekal buat selamanya (Immutable). Jadi anda dapat merujuk kembali sejarah transaksi yang dilakukan dalam rangkaian tersebut dari permulaan sehingga yang semasa mengikut cop masa (timestamp). Hal ini dapat menghindarkan daripada berlaku penyelewengan data seperti pihak berpusat memadam transaksi penggubahan wang haram (money laundering) yang dilakukan oleh pusat pengkalan data tradisional.

Sumber: Vecteezy

Jadi, apakah yang dimaksudkan blok itu “dirantai” (Hashing)? Rantaian ini terjadi dengan menggunakan teknik hashing iaitu salah satu aspek dalam dalam bidang sains komputer. Jangan pening-pening! Hashing dari segi analoginya anda boleh bayangkan ia sebagai gam yang mencantumkan antara blok-blok tersebut supaya keselamatan maklumat transaksi itu terjamin. Dari sudut teknikal pula, ia mengambil serpihan data dalam blok yang lepas untuk dimasukkan ke dalam blok seterusnya supaya ianya saling berkaitan dan dirantai. Jika ada pihak yang ingin mengubah sejarah transaksi dalam blok semasa, maka dia perlu mengubah semua sejarah transaksi dalam blok sebelumnya sehingga ke blok pertama yang dicipta kerana serpihan data itu tadi. Hal ini sangat merugikan kerana ia memerlukan kuasa komputer yang sangat tinggi dan penggunaan elektrik yang dasyat. Jadi agak mustahil untuk dilakukan bagi rangkaian besar seperti Bitcoin dan Ethereum.

Sumber: Canada Insights

Teknik Cryptography merupakan seni dalam menghantar maklumat secara atas talian tanpa diketahui orang lain dalam bentuk ciphertext dan ia mengandungi dua komponen; Kunci Umum (Public Key) dan Kunci Rahsia (Private Key). Pernah lihat lukisan dan simbol-simbol pelik dalam sejarah firaun Mesir, rakyat Mesopotamia dan sebagainya? Begitulah konsep kriptografi dimana mesej yang hendak disampaikan adalah dalam bentuk yang lain (bukan tulisan) dan hanya difahami oleh mereka yang terlibat sahaja. Public Key bertindak sebagai alamat seorang penerima dan sebagai pengesahan identiti penghantar maklumat oleh penerima manakala Private Key bertindak sebagai identiti penghantar maklumat dan kunci untuk penerima membuka maklumat tersebut.

Sumber: Science Node

Berbalik kepada Miner/Validator, siapakah mereka? Mereka adalah peserta yang digelar nod komputer terlibat untuk mengesahkan transaksi dalam rangkaian seperti Bitcoin, Ethereum dan pelbagai jenis blokrantai yang lain. Sistem tradisional bergantung kepada satu pihak sahaja untuk pengesahan transaksi dan ini mendedahkan mereka kepada risiko penggodaman (hacking) memandangkan seluruh data hanya berpusat pada satu pihak (centralized). Oleh itu, tujuan asal blokrantai adalah untuk mengukuhkan sistem keselamatan rangkaian dengan berkongsi kesemua data kepada pelbagai miner/validator yang terlibat dalam pengesahan transaksi (decentralized). Jadi, apabila penggodam ingin menggodam rekod data salah seorang daripada miner/validator, data tersebut akan diperbaiki semula secara automatik kerana miner yang lain mempunyai salinan penuh rekod data itu.

Seterusnya, miner/validator tidak mengenali antara satu sama lain. Bagaimana mereka mencapai persetujuan untuk mengesahkan transaksi? Terima kasih kepada Satoshi Nakamoto kerana kita sekarang bergantung kepada kepercayaan terhadap sistem atau undang-undang berbanding mempercayai suatu pihak seperti bank untuk mengawal duit kita. Mekanisma Persepakatan (Consensus Mechanism) adalah undang-undang yang perlu dipatuhi oleh miner/validator dalam mengesahkan transaksi tanpa perlu diawasi oleh pihak berkuasa. Boleh dikatakan ianya sebagai sistem kawalan kendiri yang dihasilkan daripada konsep Game Theory dan Byzantine Fault Tolerance dimana mempunyai aspek: Taruhan, Balasan dan Ketelusan. Antara jenis mekanisma persepakatan ialah Proof-of-Work, Proof-of Stake, Delegated Proof-Of-Stake, Proof-of-History dan pelbagai lagi.

Sumber: Open Ledger

Contoh situasi rangkaian Bitcoin:
• Taruhan (stake): Mesin ASICs menggunakan elektrik yang banyak untuk pengesahan blok data bagi melombong bitcoin.
• Balasan (reward): Miner dapat sejumlah Bitcoin setelah mengesahkan blok data.
• Ketelusan (transparency): Miner / Orang awam yang lain boleh menyemak pengesahan data tersebut secara langsung.

Hasilnya, jika Miner/Validator melakukan kesalahan seperti menipu, menggodam dan double spending, taruhan mereka akan hilang yang membuatkan mereka sangat rugi dari sudut kos elektrik yang mahal. Sebaliknya jika mereka mematuhi mekanisma persepakatan, adalah lebih untung kerana mendapat balasan yang agak lumayan. Sangat mudah!!!

Setakat ini sahaja pengetahuan mengenai teknologi blokrantai yang anda perlu tahu. Jika anda minat untuk mengetahui dari sudut teknikal dengan lebih mendalam, boleh sahaja belajar di pelbagai laman web atas talian seperti Binance Academy, CoinMarketCap, IBM Blockchain  dan pelbagai lagi. Anda hanya perlu rajin membaca dan Do Your Own Research (DYOR). Terima kasih kerana membaca😊

Share on whatsapp
WhatsApp
Share on twitter
Twitter
Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published.